>Cinta Cikgu Razman 1

>

Rintis-rintis hujan turun membasahi bumi tiba-tiba disusuli pula dengan sinaran cahaya matahari, hujan panas. Waktu seakan memahami apa yang sebenarnya sedang aku hadapi. Semalam aku menerima satu khabar gembira dari Zarina yang menyatakan kami berdua telah lulus ujian perkhidmatan yang kami duduki pada bulan Ogos yang lalu. Maknanya, aku dan Zurina layak mendapat anjakan gaji pada tahun ini. Alhamdulillah… Walaupun surat keputusan ujian itu belum diterima tetapi aku yakin khabar dari Zurina itu bukan khabar angin semata-mata.

Zurina bekerja sebagai Pembantu Tadbir di PPD Hiliran dan menjadi pembantu Pn. Maznah Haji Selikin selaku Ketua Unit Perkhidmatan di Pejabat Pelajaran Daerah berkenaan. Zurina diantara kawan seangkatan dalam jawatan Pembantu Tadbir yang selalu menjadi orang pertama yang menyampaikan ‘berita terkini’ kepada kami yang bertugas di sekolah-sekolah berdekatan.

Hari ini pula, seperti terbitnya hujan panas seakan mengerti betapa ‘kepanasan’ hati ku ketika ini. Cerita lulus ujian semalam terasa sudah tidak membawa makna langsung kepada ku. Tiap langkah yang cuba diatur seperti tidak dapat diteruskan. Surat keputusan perpindahan anggota kakitangan sokongan sudah dikeluarkan dan diedarkan ke sekolah. Permohonan aku untuk berpindah “Tidak Diluluskan Atas Kepentingan Perkhidmatan”. Helaian surat itu ku lihat sudah seperti sampah, ikut hati mahu sahaja ia ku renyukkan dan dibuang dalam tong sampah. Oh..! Kenapa tiap tahun permohonan aku tidak diluluskan? Geram. Amarah menguasai diri. Bila difikirkan, kepada siapa aku harus melemparkan rasa marah ini? Adakah kepada Guru Besar ku? Atau aku harus marahkan pegawai berkaitan yang mengurus hal perpindahan? Nak salahkan siapa? Sesungguhnya, aku tidak harus berfikiran sempit begitu. Mungkin belum tiba waktunya untuk aku berangkat pergi dari sekolah ini.

SK Hiliran… Sekolah pertama aku ditempatkan ketika aku mendapat tawaran kerja sebagai Pembantu Tadbir. Tahun ini masuk tahun ke-6 aku berkhidmat disini. Hari pertama melapor diri aku merasakan dunia ini agak asing sekali. Biasalah, bila kita berpijak kaki di bumi asing yang bukan tempat tanah tumpah darah sendiri, begitulah rasanya. Tak kenal maka tak cinta…emmm…

Masuk tahun ke-6 selama aku disini sudah 3 orang Guru Besar bersilih ganti menjadi ketua kami. Cikgu-cikgu pun ada yang berpindah keluar tiap tahun, tak kurang juga yang berpindah masuk. Mempunyai seramai 25 orang guru dan 7 orang anggota sokongan serta 321 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar melayu, melanau, iban dan cina.

Keseronokan bekerja di sekolah ini memang ada bila aku rasakan ketika bekerjasama dengan staf-staf yang seakan ‘satu kepala’. Suasana bekerja tidak akan seteruk yang difikirkan jika ada sebilangan guru yang tidak terlalu cerewet dan tidak hanya tahu memberi arahan tanpa turut sama membantu membuat kerja. Iya… bagi aku antara ciri-ciri untuk membentuk semangat bekerja adalah termasuk dalam alasan-alasan itu. Jika dalam senarai sepuluh, pasti ada seorang atau dua dalam senarai itu yang cukup ‘menyesakkan’ hati. Dan yang paling tak sedap mata memandang ialah jika ada sebilangan daripada mereka yang menjadi ‘kaki bodek bos’. Nak bodek bos dengan berniat untuk apa… pun aku tidak pasti. Cuma yang jelas, aku cukup terkilan sangat sekiranya ada bos-bos yang termakan dengan bodek.

“Tak perlu kecewa sangat lah Marlia… tahun depan kau cuba lagi..” Fatihah cuba memberi semangat.

“Mestilah aku kecewa Fati, kau bayangkan… tiap tahun aku isi borang yang sama tapi keputusan tetap tidak berubah dan tidak menyebelahi aku”. Jawapan ku kepada Fatihah sedikit emosi. Fatihah hanya mempu tersenyum mendengar.

Fatihah Deramin, anak jati kampung Hiliran. Seorang yang agak pendiam dan berkulit hitam manis. Sampai bila-bila pun dia tidak akan perlu untuk memohon pindah kerana Fatihah sekarang tinggal bersama keluarga sendiri. Tiap kali apabila Fatihah tahu aku dan Samantha ada mengisi borang pindah, dia pasti akan mengeluh hampa. Alasannya, dia tidak mahu aku dan Samantha berpindah dari sini kerana tidak sanggup kehilangan kawan seperti kami berdua. Itulah Fatihah. Dia tidak sanggup berjauhan dengan orang-orang yang paling rapat dengannya. Aku beranggapan bahawa Fatihah pastinya tidak pernah merasa berjauhan dari keluarga seperti aku dan Samantha. Memang beruntung kalau dapat bekerja ditempat sendiri. Kalau esok, Fatihah dapat bakal suami orang sini juga lagilah beruntung. Aku pernah suarakan perkara ini kepada Fatihah. Fatihah hanya berdiam diri mendengar usikan ku itu dan langsung tidak berkata apa-apa. Mungkinkah apa yang aku katakan telah menyinggung perasaan Fatihah? Lidah ku menjadi kelu untuk berkata lanjut. Dari riak wajah Fatihah, dapat aku membayangkan kemungkinan besar dia ada menyimpan satu cerita yang tidak ingin dikongsikan dengan orang lain.

Aku dan Samantha adalah antara staf-staf sekolah yang tidak pernah serik-serik mengisi borang pindah pada setiap tahun. Mungkin sehingga pada masa yang ditakdirkan kami berdua berjaya berpindah barulah berhenti mengisi. Kalimah itulah yang kami berdua setia pegang.,hemmm… Aku pernah telefon dan bercakap sendiri dengan pegawai di JPN yang mengurus hal perpindahan AKS, bila aku memperkenalkan diri, pegawai itu menjawab…”Oh.. saya sudah hafal nama cik..”. Rasa terkedu mendengar jawapan itu, nak tergelak besar pun ada. Mana kan tidak, kalau dah dalam setahun ada 2 kali permohonan dibuka, cubalah hitung kalau sudah masuk 6 tahun aku berkhidmat, nama Marlia Bahren saja yang tertera pada borang pindah. Sampaikan Guru Besar pun sudah tidak larat hendak berkata apa-apa.

Samantha Lawrance, seorang guru yang tinggi lampai dan cantik manis orangnya, merupakan seorang lepasan universiti dalam jurusan Bimbingan & Kaunseling. Cikgu Samantha datang lebih awal 3 tahun dari aku di SK Hiliran ini. Berasal dari Kota Siaran, berbangsa iban tetapi cukup fasih bertutur melayu. Fatihah, Cikgu Samantha dan aku adalah teman serumah yang paling rapat dibawah bumbung SK Hiliran ini. Itu yang aku rasakan. Aku bersyukur, setibanya aku di bumi Hiliran ini aku telah temui insan yang bergelar sahabat seperti Fatihah dan Samantha.

Akan bersambung…nantikan..

Advertisements

>Dugaan Ku

>Agak lama laman kecintaan ku ini sepi daripada idea-idea yang mencurah. Kesibukan yang teramat yang bermula dari penghujung tahun 2010 telah mendorong aku untuk melupakan sementara dunia ini. Sesungguhnya, ini adalah separuh dari dunia hidup aku. Aku tidak bisa melupakan…emmm!

Aku masih menyimpan ‘ketat’ kata azimat berupa kritikan yang sedikit ‘kesat’ dari seorang hamba Allah yang aku sendiri tidak tahu siapa dia…? Apa yang aku ingin nyatakan kepadanya adalah…”Terima Kasih” yang tidak terhingga kerana sudi singgah di laman blog ku yang serba kekurangan ini (mungkin pada anggapan dia) tetapi bagi aku, blog ku ini sudah cukup cantik untuk aku persembahkan secara ikhlasnya kepada umum. Maka dengan itu, sudi-sudikanlah menyinggahkan diri anda untuk menjadi sahabat setia ke laman ini. Kehadiran anda amat dihargai.

Teman-teman ramai yang memberi nasihat supaya aku jangan cepat melatah dengan dugaan ini. Dunia blogger yang aku ada ini baru ‘setahun jagung’ usianya. Siapalah aku untuk membanggakan diri dan mencanangkan kepada dunia bahawa blog aku ini yang terbaik. Jauh panggang dari api…! Namun, itu tidak bermakna insan-insan diluar sana boleh berkata sebarangan tentang hasil kerja aku.

Apa-apapun, aku bangga jugak setakat ini ramai sungguh teman-teman yang memuji blog peribadi ku ini. Ada juga yang memberi sokongan positif untuk aku meneruskan perjuangan berblogger. Ini la dugaan. Inilah langkah pertama aku untuk terus menjadi seorang penulis yang cemerlang.

>Suka Menjadi Duka

>Jangan mudah terlanjur kata, nanti merana…

Mulai dari hari ini aku akan ingat sentiasa bahawa dalam kehidupan yang fana ini mulut kena jaga. Jangan mudah menuturkan sebarang kata yang kita sendiri tidak tahu apakah kata-kata kita itu betul atau sebaliknya. kita juga tidak sedar adakah kata-kata kita itu akan membuatkan orang lain senang hati atau bersusah hati. Setiap kali menuturkan kata-kata berfikirlah dahulu, tapislah dahulu agar kita tidak menjadi penyebab kepada kehancuran hati orang lain.

Ada kala mainan akan menjadi sungguhan, gurauan akan menjadi tangisan dan mimpi mainan tidur itu tidak mustahil akan menjadi kenyataan.

Menghadiri majlis perkahwinan bagi anaknda sulung seorang kawan pada hari itu cukup membuatkan aku insaf dan mungkin juga semua orang yang hadir di majlis itu akan merasakan apa yang aku rasakan.

Majlis perkahwinan yang seharusnya disambut dengan hati yang gembira telah bertukar menjadi duka hanya kerana satu ketentuan ilahi yang cukup menduga.

Ternyata kita harus menerima kenyataan yang telah diatur oleh Allah swt dan kita telah akur dengan Qada’ dan Qadar Nya.

Dalam keghairahan untuk melihat kedua mempelai bersanding, airmata turut menitis. Tangisan yang entah untuk apa, aku pun tidak pasti… yang nyata aku terlalu bersimpati terhadap seorang kawan yang telah menerima nasib sebegitu dan bersimpati dengan apa yang telah terjadi kepada pasangan pengantin itu. Subhanallah..

Aku tidak bercadang untuk bercerita panjang disini, cukup sekadar untuk renungan bersama.

>Coretan Pendek Di SB…

>

Sudah masuk 2 minggu cuti sekolah 2010. Belum ada rancangan untuk ke mana-mana bersama anak-anak sebab aku masih bekerja seperti biasa. Tambahan jugak, ‘projek besar’ bersama abangnda masih perlu diteruskan dan mesti disiapkan dengan seadanya sebelum hadir tahun 2011, insyaAllah…

Begitulah bila hidup kita telah dikerumuni oleh anak-anak dan seorang ketua keluarga iaitu suami yang pada setiap detik dan minit perjalanan hidup mereka kita mesti cuba warnai dengan kebahagiaan yang sempurna.

Bila kita masih hidup membujang, terasa hidup kita belum lengkap sekiranya belum berumahtangga, betul ke…? Mungkin ‘iya’ bagi sesetengah individu… Mungkin juga ‘tidak’ untuk sebilangan orang. Kita ada pendapat masing-masing. Kita ada masa depan sendiri untuk diwarnai samada putih dan hitam… Semua kita didunia ini ada perancangan sendiri untuk hari muka, samada memilih untuk hidup sendiri, ambil anak angkat, tinggal bersama adik beradik, tinggal di rumah orang-orang tua atau akan memulakan hidup dengan berumahtangga bersama pasangan pilihan hati hingga hujung nyawa.

>Bila Anda Diperhatikan

>Kalau pergi ke mana saja, orang akan perhatikan kita dari atas sampai bawah. Sambil jeling-jeling mata, berbisik-bisik pulak sesama mereka. Lepas tu, ketawa terbahak-bahak. Ada yang senyum sinis, ada yang senyum kambing dan ada yang pura-pura macam nak tahan gelak, konon.

Korang ‘terasa’ tak kalau bertemu dengan orang-orang yang macam ni…. Tak kesah lah, samada kat tepi jalan, dalam opis tempat kerja, di hentian bas semasa kita menunggu bas, tunggu teksi atau dimana-mana. Yang pasti, orang-orang begini di semua kawasan, di mana-mana tempat mereka tetap ada.

Ikhlas la aku nak cakap, sebenarnya aku sendiri pun tak tahu apa sebenarnya yang mereka perhatikan dari atas sampai bawah, apa yang mereka suka sangat nak jeling. Apa cerita yang mereka bisik sesama sendiri pun aku tak pasti. Apa yang aku perasan, kalau mereka senyum…aku balas dengan senyum jugak.

Tapi, bila dah berada jauh sikit dari pandangan mereka, aku pasti akan ‘terasa’ jugak seperti ada yang tak betul jerr tubuh badan aku ni. Macam ada tak kena jer kat muka aku ni… Memang tak boleh tipu lah… mereka-mereka ni dalam ramai-ramai yang duduk melepak tu, ada yang berhati songsang kat kita. Tapi, kena fikir positif jugak… tidak semuanya mereka berfikiran begitu. Eeemm…. fikir-fikirkan lah… apa sebenarnya didalam hati mereka sekiranya mereka berkelakuan begitu dihadapan kita…

>Pasrah Seorang Isteri

>Jika berasa kecil hati
Tentu ingin menangisi
Jika merasai sakit hati
Jiwa meronta menagih simpati
Akan adakah insan yang akan memberi
Akan lahirkah kejujuran hati yang murni
Menghulur rasa menyayangi dan mencintai
Walau hanya seinci…
Walau hanya seinci…

Namun,
Kepada siapa harus diluahkan
Dimana hendak dicampakkan
Haruskah melontarkan
Bagaimana harus diperkatakan

Sesungguhnya,
Kata-kata telah terhentikan
Oleh rasa kekecewaan
Yang amat menekan

Biar puas rasa hati
Biar titisan air mata membasahi pipi
Tetap begini
Meratapi
Meredhai
Merelai

Jauh di sudut hati
Tidak mengharap mengulangi
Jauh sekali mendoakan kembali
Cukup sekadar menginsafi
Bahawa telah ada sekeping hati
Telah dilukai
Telah dibunuhi…

Sedarkah…?
Sedarlah, sedarlah…
Berfikirlah
Berdoalah
Bertaubatlah
Insaflah…insaflah…insaflah…

Dia…
Yang layak didampingi
Suci untuk disentuhi
Halal untuk ditiduri
Tetapi mengapa membenci
Mengapa sanggup membohongi
Tergamak pula melukai
Menodai
Menghancuri
Mengkhianati

Pasrah…
Kerana ketentuan yang dirasa sudah berarah
Rasa yang hadir dari Maha Esa telah terluah
Membasahi diri bak hujan yang mencurah-curah

Biar bertitis air mata darah
Walau sakit luka yang parah
Hanya satu kata yang mampu terluah
Alhamdulillah…Alhamdulillah…

Besar sungguh kuasa Mu Ya Allah
Memberi kepada hambaMu suatu hidayah

Aku pasrah
Ku berserah.

>Adakah Anda Ingat Tarikh Lahir Pasangan Anda

>

Selamat hari lahir…. Happy birthday…

Ingat tak tarikh lahir sendiri, tarikh lahir suami, isteri, anak-anak, emak, ayah, adik beradik dan seluruh keluarga kita.

Pernah kah hari ulangtahun itu kita sambut bersama-sama dengan semeriah yang kita mampu, atau kita tidak ingat langsung dan tidak pernah peduli tentang hari itu, dan jauh sekali nak menyambutnya dengan ala kadar sekurang-kurangnya atau dengan hanya membeli sekuntum bunga mawar kepada isteri, atau dengan hanya mengucapkan ‘selamat hari jadi sayang…’

atau…atau…atau…bla..bla…bla…

Semua kita ada tarikh lahir sendiri, cuma kebanyakannya tidak sama. Tapi, tidak terkecuali jugak ada yang sama hari, sama bulan dan sama tahun. errmm….

Oh, bila sampainya hari itu, mesti ramai yang ucap selamat kepada kita, kan.. Alhamdulillah. Terasa bagai diri kita dihargai dan disayangi oleh ramai orang sekeliling kerana mereka juga bersusah payah mengingati tarikh penting dalam hidup kita, kan…?

Kepada suami-suami, isteri-isteri di luar sana yang dihormati dan sayangi… adakah anda ingat tarikh hari kelahiran pasangan anda? Kalau ingat syukur alhamdulillah. Kalau tidak ingat, cepat-cepatlah cuba imbas semula dan kalau gagal jugak, pergi geledah almari, cari sijil lahir pasangan. Oh..

Elok tak kalau disaat ini kita baru nak bertanya dengan pasangan kita bila tarikh lahir dia…? Rasa-rasanya kalau anak dah masuk 10 orang kita baru nak tanya tarikh lahir pasangan kita, alamatnya… mesti akan keluar skrip-skrip yang kurang menyenangkan hati. Belum lagi kalau kita sentuh, tarikh ulang tahun perkahwinan, errmmm..

Sebenarnya, mengingati tarikh-tarikh penting dalam hidup terutamanya pasangan hidup bersuami isteri adalah amat penting. Paling istimewa, sekiranya ada pasangan yang sanggup meluang masa dan berhabis wang ringgit semata-mata untuk meraikan hari ulang tahun kita. Bertuah sungguh… Sebegitu hebatnya ingatan mereka-mereka terhadap kita, mengapa tidak kita juga berlaku hebat seumpama itu terhadap mereka juga. Sudah tentu boleh, bukan…? Kerana itu, betapa penting nya kita mengingati antara satu sama lain.

Banyak cara, banyak idea yang boleh kita buat untuk cuba ambil hati pasangan kita. Segala apa yang kita lakukan bukan untuk kesenangan dan kebahagiaan orang lain, segalanya untuk kita sendiri juga. Bila isteri gembira, suami juga akan tutut gembira. Begitu juga kalau isteri bersedih sudah pasti si suami lebih akan bersusah hati. Tiada yang lebih bermakna dan berharga dalam rumahtangga selain dari melihat pasangan kita gembira dan bahagia.

Memang diakui, tidak semua kita punya tanggapan yang sama dalam hal ini. Iya.. saya pernah jumpa pasangan yang sebegini. Tetapi kita tidak dapat nak salahkan sesiapa dalam hal begini. Cuma mereka sendiri yang lebih tahu apa yang sepatutnya, kan.. Terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk menilai apa yang baik untuk diri sendiri.

p/s Cukup bersyukur dengan ucapan yang ringkas tapi penuh makna.